Friday, November 9, 2012

taskirah pagi sabtu - mencari keberkatan rezeki


Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha untuk bebas daripada belenggu kemiskinan.Peringatan itu maha penting kerana kemiskinan sebenarnya boleh menggelincirkan iman seseorang.Ini kerana bagi seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan akidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebeswaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.Manusia digalakkan mencari kerja yang halal, yang sekaligus akan menjadi ibadat selagi dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya. Apatah lagi jika tubuh badan masih kuat dan sihat, perbuatan meminta-minta sebegitu amat dilarang keras oileh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghina Islam itu sendiri.Malah Rasulullah SAW sendiri memberikan peringatan mengenai perbuatan ini melalui sabdanya, “Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Mensyukuri rezeki menambahkan berkatRasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)Setiap Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan‘alhamdulillah’ di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya,“Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (Hadis riwayat at-Tabrani)Rezeki adalah ketentuan Allah SWT. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Naim)Bila Allah Taala cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu, bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya. ...Renung-renungkan!

Thursday, October 18, 2012

tIdAk HaRaM sAlAm PeReMpUaN


1. Ramai di kalangan kita yang tentunya serba salah apabila seorang yang berbeza jantina dengan kita menghulurkan tangan untuk bersalam, apatah lagi apabila kita berada dalam majlis besar atau “flash” kamera berkelipan sedang mengambil gambar kita. Kita serba salah kerana takutkan dosa dan juga khuatir terhadap fitnah atau tohmah yang bakal melanda. Soalnya, apa pandangan Islam terhadap perkara seperti ini? Apakah benar ianya haram? Isu ini sebenarnya termasuk dalam isu fiqh yang kontroversi sebagaimana isu mendengar muzik.
2. Saya amat meminati pendekatan fatwa oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradawi. Walaupun saya juga mengenali ulama’ besar yang lain, namun hati saya lebih menyenangi cara beliau dalam mengutarakan sesuatu pandangan. Malah, Al-Qaradawi membezakan fatwa kepada dua iaitu Fatwa Aysar (lebih kepada memudahkan orang awam) dan Fatwa Ahwat (lebih mengutamakan sifat berhati-hati terutamanya bagi pihak yang faham dan “komited” dengan agama).
3. Apabila seseorang mengatakan bahawa bersalam di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram (ajnabi) hukumnya adalah haram, maka kita perlu bertanya kepadanya apakah dalil yang dia (atau mereka) miliki untuk mengatakan ianya haram. Untuk mengatakan sesuatu benda atau perbuatan itu haram, kita memerlukan dalil yang qat’ie (putus), soreh dan sahih. Tidak sepatutnya kita dengan mudah mengatakan sesuatu itu haram tanpa sokongan dalil yang kukuh.
4. Sebenarnya, berkaitan dengan perbuatan bersalaman antara lelaki dan perempuan (bukan mahram), tiada sebarang ayat Al-Quran mahupun hadith-hadith sahih yang disepakati para ulama’ hadith yang mengharamkannya. Jika terdapat sekalipun hadith-hadith tertentu, ianya tidak sunyi dari pertikaian para ulama (tidak disepakati). Bagi Al-Qardawi umpamanya, beliau mengatakan bahawa beliau sudah berusaha untuk mencari nas-nas syarak yang kuat dan menyakinkan namun tiada satu pun yang beliau temui.
5. Saya mendapati kebanyakan ulama’ kontemporari (termasuk Sheikh Muhammad Soleh Al-Munajjid) berhujah mengunakan hadith yang direkodkan oleh Al-Tabrani dan Al-Baihaqi sebagaimana diriwayatkan oleh Ma`qil ibn Yassar bahawa Rasulullah SAW telah bersabda dengan maksudnya, “Bahawa menyusukkan jarum besi ke dalam kepala seseorang daripada kamu adalah lebih baik daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya”. (Lihat Sahihul Jami’, hadith no. 4921)
6. Saya amat menyukai cara Al-Qaradawi mengulas hadith ini:-
a) Para Imam Hadith tidak mensabitkan kesahihan hadith ini walaupun ada di kalangan mereka yang mengatakan bahawa para perawinya adalah dipercayai tetapi tidak memadai (bagi Al Qaradawi) untuk menjadikan hadith ini sebagai sahih. Lantaran itu, kita tidak mendapati wujudnya di kalangan sahabat Nabi SAW yang menjadikan hadith ini sebagai sandaran mereka apabila melarang amalan bersalaman antara lelaki dan perempuan ajnabi.
b) Jika hadith itu sahih dan diterima sekalipun di sisi ulama’ tertentu, namun ianya masih tidak dapat meyakinkan Al-Qardawi bahawa hadith tersebut boleh digunakan sebagai dalil haramnya bersalaman antara lelaki dan wanita ajnabi. Ini disebabkan, perkataan “menyentuh” (dalam bahasa Arab – “Al-Mass”) tidaklah merujuk kepada perbuatan bersentuhan semata-mata tanpa diiringi dengan nafsu sebagaimana yang berlaku dalam kes bersalaman antara lelaki dan perempuan ajnabi, tetapi perkataan tersebut digunakan oleh Al-Quran dan hadith merujuk dua makna iaitu hubungan kelamin dan perbuatan bersedapan yang menjadi mukadimah kepada hubungan jenis contohnya; cumbu, peluk, raba, atau “gurau senda” yang seumpamanya.
Contoh ayat Al-Quran yang menggunakan perkataan “sentuh” dengan makna “hubungan jenis”, ialah Surah Al `Imran: ayat 47:-
قَالَتْ رَبِّ أَنَّى يَكُونُ لِي وَلَدٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ قَالَ كَذَلِكِ اللّهُ يَخْلُقُ مَا يَشَاء إِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُن فَيَكُونُ
Maksudnya; Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”
7. Contoh satu lagi ialah Surah Al-Baqarah: ayat 237:-
وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إَلاَّ أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ وَأَن تَعْفُواْ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَلاَ تَنسَوُاْ الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan
8. Al-Hakim merekodkan beberapa hadith dalam kitabnya Al-Mustadrak `ala As-Sahihain yang menunjukkan bahawa perkataan “lams” (sentuh) adalah dengan makna perbuatan-perbuatan yang mendahului hubungan jenis (istimta’)dan bukannya semata-mata menyentuh sahaja.
9. Kerana itu juga, Sheikhul Islam Ibn Taimiyah menganggap sebagai da’if (lemah) pandangan ulama’ yang mentafsirkan perkataan “mulamasah” (sentuhan) di dalam ayat Al-Quran dengan makna semata-mata sentuhan (antara lelaki dan perempuan) tanpa disertai dengan nafsu.
10. Sebagai kesimpulan, bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram:-
Pertama, hanya dibenarkan apabila tidak disertai dengan nafsu syahwat atau fitnah. Jika terdapat iringan nafsu syahwat, fitnah atau “keseronokan” maka, bersalaman yang demikian tetap menjadi haram. Tidak terkecuali, bersalaman antara mahram sekalipun, jika terdapat nafsu syahwat atau fitnah, ia juga menjadi haram.
Kedua, seboleh-bolehnya dihadkan hanya dalam lingkungan kaum keluarga dan orang yang mempunyai pertalian melalui perkahwinan dengan keluarga kita.
Ketiga, sebaik-baiknya, bagi orang yang komited dengan agamanya, berusaha untuk mengelak daripada bersalam dengan orang yang berbeza jantinanya (yang bukan mahram) sebagai mencontohi amalan Nabi SAW yang tidak pernah bersalam dengan perempuan bukan mahram. Sepertimana yang disebut dalam hadith-hadith berikut:-
“Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan”
(Riwayat Ahmad, 6/357; Sahihul Jami’, hadith no. 2509)
“Sesunggguhnya aku tidak menyentuh tangan perempuan”
(Riwayat Al-Tabrani dalam Al-Kabir, 24/342)
Hadith ‘Aisyah r.a. dengan maksudnya:-
Dan demi Allah! Sungguh tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh tangan perempuan sama sekali,
tetapi baginda membai’ah mereka dengan perkataan sahaja.
(Riwayat Muslim)
Sekian

Sunday, February 26, 2012

Larangan Memakai Sutra Bagi Lelaki


Dalam surah an-Nahl ayat 81 yang bermaksud: “Allah jadikan bagimu pakaian yang memelihara kamu daripada panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan.” 

Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud daripada Ali, beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW memegang sutera di tangan kanannya dan emas di tangan kirinya, kemudian Baginda bersabda: Kedua-dua ini haram bagi lelaki daripada umatku.” 

Hadis lain yang diriwayatkan Imam al-Tirmizi daripada Abu Musa al-Ansari menyebut, Rasulullah SAW bersabda: “Telah diharamkan memakai sutera dan emas pada orang lelaki daripada umatku dan dihalalkan bagi orang perempuan mereka.” 

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis: “Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat.” (Sedangkan emas dan sutera perhiasan dalam syurga). 
Emas dan sutera perhiasan diciptakan Allah untuk dipakai wanita dan bukan lelaki. Ada ulama secara tegas mengharamkannya, terutama sutera asli. Namun, ada ulama menilai larangan Nabi itu bukan larangan ketat sehingga tidak boleh sama sekali. 

Ia bererti hal itu kurang wajar dilakukan lelaki yang berwibawa dan terhormat, atau larangan itu berkaitan dengan konteks situasi keprihatinan dan keperluan kaum Muslimin pada masa Nabi SAW yang sangat memerlukan tenaga dan pembiayaan kewangan untuk menjayakan perjuangan Islam. Bagaimanapun, seharusnya untuk bersikap warak tinggalkan saja pakaian sutera agar terselamat daripada jatuh kepada haram. 

Namun, jika ada keperluan mendesak, contohnya perubatan tidak menjadi kesalahan seperti Rasulullah SAW pernah membenarkan Zubair Abdurrahman bin Auf memakai sutera kerana menderita

Monday, February 13, 2012

1 khalifah

Jauhi diri kita dari menjadi golongan Yukazzibun -yakni rasa bukan kita diperintah oleh Allah.
Bercakap yang benar
Kalau kita tidak kenal Allah bagaimana kita akan mengucapkan ‘Allahurabbi’.
Lisan Allah beri dengannya kita boleh masuk neraka dan boleh kita masuk syurga, terpulang kepada kita mana nak pilih.
cakap dengan anak dan isteri tetapi mereka tidak mahu dengar cakap kita sebab lisan kita telah hilang keberkatannya.
sebab itu orang alim kadang-kadang ada karamah dikurnia Allah sebab dia menjaga lisan dan anggota badan dari perkara yang melanggar syariat.
‘watawasaubil haq’ = berpesan-pesanlah kepada kebaikan dan menambah iman.
Bawalah anak-anak bersiar-siar contoh di air terjun atau di laut dan beritahunya/ ajak dia bersyukur akan nikmat Allah kurniakan pemberian allah dan ucapkan alhamdulillah (segala puji bagi allah).
Janganlah engkau sampai menjadi rugi di Mizan (timbangan) di akhirat kelak, rugi di mizan apabila melazimkan:
-cepat marah -waktu marah amalan terhapus/terbatal. jikalau cepat marah: jika berdiri maka duduk, jika duduk maka baring, jika marah ambil wudhu supaya cepat reda.
-marah pada yang haq -contoh jika anak tidak solat.
-banyakkan berzikir untuk selamat dari mizan,
amalan memberatkan mizan: ucapkanlah ‘subhanallah, walhamdulillah, wala ilaa ha illallah wallahu akhbar’.
-sulam amalan kamu dengan keikhlasan.
-amalan tidak di nilai jika beserta dengan Riak.
-hendaklah kamu sabar dalam menahan kesulitan, hatta hinggakan tercucuk duri maka akan dihapus oleh allah dosa-dosanya.
-Jangan susah hati dengan kesusahan/ kesulitan dalam kehidupan kerana ada balasan pahalanya di sana.
-Jangan engkau rugi di titian sirath di akhirat:
titian sirath 5000 tahun mendaki, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menuruni.
melalui titian sirath bergantung amalan dikerjakan kita, ada yang melaluinya seperti kilat menyambar, ada berjalan, ada berlari.
-Jaga jangan sampai di titian sirath kita disambar api neraka. disambar api neraka antaranya ada dosa bersekedudukan, menzalimi orang, ada berkaitan dengan orang: contoh hina, umpat.
-Dan hendaklah kita bersikap wara’, ada 10 sifat nabi yang baik kita tiru dan amal.
-Orang beriman itu bersaudara, bantu kerana Allah.
-hendaklah kamu menjadi seorang pemberi -kita hormati memberi contoh: dengan bungkus elok dan lipat baik pakaian untuk di sedeqah.
-belajar solat berjmaah selalu di amal.
berniatlah selalu untuk mengerjakan solat jemaah samada dengan kawan walau kawan tidak hirau. insya’allah ada pahala allah beri juga pahala berjemaah.
-Lazimkan bersedekah surah Al-fatihah kepada pengarangnya jika kamu ada membaca buku/tulisan ilmu ugama, insyaallah perolehi keberkatannya/ dapat kefahamannya pada kamu juga.
Written by Live Admin









Assalamualaikum WBT

  
“Ilahi anta maqsudi wa ridhaka mathlubi. A’tini mahabbataka wa maqhrifataka.” Tuhanku, Engkaulah yang aku maksudkan dan keredhaanmulah yang aku cari. Berikanlah aku kasih sayang-Mu dan makrifah kepada-Mu.

            Kadang-kadang kami bersembang sesama kami, alangkah seronoknya kalau kita hidup macam orang lain. Bangun pagi pergi solat Subuh, kemudian baca Quran, pergi kerja, balik kerja makan, berehat, solat Asar, petangnya berziarah atau riadah, waktu Maghrib dan Isya’ ke surau atau masjid, jadi tok imam, kemudian menonton televisyen bersama keluarga dan tidur. Alangkah bahagia dan selesanya hidup begini. Semua orang mengimpikan hidup yang semudah ini.
            Tapi mengapa kita memilih jalan yang kita lalui ini? Jalan yang penuh dengan aktiviti-aktiviti dakwah, program sana sini, qiam bersama-sama, berfikir dan merancang aktiviti untuk remaja… dan lain-lain?
            Sebenarnya, apabila kita telah merasai kemanisan melakukan ini semua… maka kita akan terus melakukannya. Kamu sendiri akan jadi begini suatu hari nanti insyaallah.

            Baru-baru ini iaitu pada minggu yang lalu saya ada menerima satu mesej daripada seorang kenalan bernama Suhaimi. Mesejnya ringkas tetapi padat.

                        *Kita… lbh gmbira mymbut 1 JAN drpd 1 MUHARAM
                        Lbh igt 14 FEB dpd 12 RABIULAWAL
                        LBH khsyuk mdgr LAGU dpd AZAN
                        Lbh thu nama ARTIS dpd NABI2
                        Lbh suka memuji MANUSIA dpd TUHAN
                        Lbh cintakan DUNIA dpd AKHIRAT
                        Tp bila dtnya arh tuju
                        Kita pst mnjwb kita lbh suka menuju syurga dpd neraka?
                        Salam Maulidurrasul

            Apa ada pada 1 Januari? Sambutan tahun baru Masehi. Apa ada pada 1 Muharam? Tahun baru Hijrah iaitu tahun baru Islam. Rata-rata kita lebih mengingati dan menyambut tahun baru Masehi. Apakah tahun Masehi? Ada pendapat mengatakan dibuat oleh orang-orang Kristian kononnya sempena kelahiran Nabi Isa atau Jesus Christ. Apakah tahun Hijrah? Ia dibuat sempena penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah.
            Tapi yang peliknya Nabi Isa dipercayai lahir pada 25 Disember, bukannya 1 Januari. Itulah keyakinan rata-rata umat Kristian walaupun ada sebilangan kecil daripada mereka yang percaya Nabi Isa lahir selepas 25 Disember ataupun dalam bulan Januari. Benarkah Nabi Isa lahir pada bulan Disember atau Januari?
            Sebagaimana yang kita tahu bahawa pada bulan Disember dan Januari, tempat kelahiran Nabi Isa dilitupi salji. Biasa kita lihat Hari krismas disambut dalam musim salji. Tetapi kalau kita baca Bible, semasa kelahiran Nabi Isa itu ditulis para penggembala sedang menggembala binatang-binatang ternak mereka di padang. Mustahil dalam musim sejuk bersalji para penggembala membawa ternakan mereka ke padang! Ini menunjukkan Nabi Isa tidak lahir dalam bulan Disember atau Januari- tidak lahir dalam musim sejuk.
            Sebenarnya sambutan 25 Disember dan 1 Januari itu adalah berasal daripada perayaan Rom kuno yang kebanyakannya para penyembah berhala. Januari itu sendiri berasal daripada nama Dewa Janus- salah satu dewa orang-orang Rom. Apabila agama Kristian masuk di kalangan orang-orang Rom, mereka mengubahsuai upacara-upacara keagamaan mereka sebelum itu lalu dimasukkan ke dalam agama Kristian.
            Jadi sudah sewajarnyalah kita umat Islam tidak menyambut 1 Januari tetapi sambutlah 1 Muharam.

            Apa ada pada 14 Februari? Ya, Hari Valentine. Apa ada pada 12 Rabiul Awal? Maulidurrasul. Kononnya Hari Valentine adalah hari untuk mengingati kekasih. Padahal ia adalah hari perayaan sebahagian umat Kristian pada zaman dahulu. Ada banyak versi tentang asal-usul Hari Valentine, yang mana satu benar pun tidaklah kita tahu. Antaranya seperti kisah seorang paderi bernama St. Valentino yang bercinta hebat dengan seorang gadis. Cintanya tidak direstui pemerintah memandangkan dia seorang paderi Katholik, paderi Katolhik tidak dibenarkan berkahwin. Ini menyebabkan dia dipenjara. Ada juga cerita kononnya ia dirayakan sempena mengingati hari kemenangan tentera Kristian ke atas umat Islam di Sepanyol yang dianjurkan oleh paderi bernama St. Valentino. Mungkin kamu tak tahu bahawa Sepanyol dulu adalah sebuah negeri Islam. Dan macam-macam lagilah cerita tentang hari tersebut. Namun kesimpulannya, ia berkait rapat dengan agama Kristian dan tak ada kena-mengena dengan kita umat Islam. Maka tak perlulah kita menyambutnya.
            Rabiul Awal pula merupakan sambutan ulangtahun kelahiran Nabi, walaupun ada pendapat yang mengatakan baginda lahir pada 9 Rabiul Awal dan juga tarikh-tarikh lain. Namun yang pentingnya kita mengenang kelahiran baginda dalam bulan Rabiul Awal, tak kiralah hari yang mana agar kita dapat mengambil manafaat-manafaatnya terutamanya untuk kerja-kerja dakwah.

Pelajar yang dikasihi sekelian,
            Kita lakukan semua yang di atas (sebagaimana dalam mesej), tetapi apabila orang tanya mana satu yang kita kejar lebih, dengan mudah kita menjawab “akhirat”. Betulkah kita kejar akhirat? Cukupkah kita mengejar akhirat? Mana satu yang lebih mudah dikejar… kejar dunia atau kejar akhirat? Untuk tahu mana yang lebih mudah antara kejar dunia dengan kejar akhirat, insyaallah akan saya muatkan dalam pengisian yang akan datang.
            Terima kasih kepada Suhaimi atas mesejnya.

Pelajar yang dikasihi,
            Saya ada terjumpa sebuah puisi yang amat sesuai untuk kita dalam buku teks sastera tingkatan 3. Selepas ini akan dihuraikan isi kandungannya. Di sini tidaklah saya hendak melagukannya kerana akan mengambil masa yang lama.
                                   
SYAIR TENAGA PEMUDA Gustama Negara
Tenaga pemuda kalau diasuh,
Pimpin dan didik kotor dibasuh,
Tidaklah ia menjadi lusuh,
Amat berguna menentang musuh.
                                               
Tenaga pemuda memang terbilang,
Tenaga yang sedang gilang-gemilang,
Beban yang berat dapat dijulang,
Benda yang jauh dapat dijelang.

Tenaga pemuda tenaga bererti,
Tenaga yang berani menempah mati,
Tidak mengerti erti nanti,
Hanya penuh kemahuan mesti.

Tenaga pemuda mestilah sayang,                                              
Jangan dibiarkan lemah dan goyang,
Di waktu muda tenaga kencang,
Berani sampai berputih tulang.
Tenaga pemuda kalau dijaga
Kelak akhirnya sangat berharga,
Tenaga yang menjadi harapan bangsa,
Gagah berani mempertahankan negara.

kesan istighfar

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.”


Riwayat Abu Daud


Huraian
1. Islam menggalakkan kita agar memperbanyakkan beristighfar, selalu bertaubat kerana sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada dosa. Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda merupakan seorang rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil.
2. Orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah akan merasakan dirinya sentiasa dekat kepadnya-Nya. Bahkan akan timbul perasaan tenang dan dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah.
3. Dosa itu adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar. Oleh itu bagi mengelakkan hati daripada lalai seseorang itu hendaklah sentiasa membanyakkan istighfar. Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya keampunan daripada Allah itu akan berlaku.




Elakkan Berkata ”Kalau”


Hadith :


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki- Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” Riwayat Muslim


Huraian:


1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.


2. Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.


3. Ucapan ‘kalau’ tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.

Provokasi Munafik

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah al-Tawbah: 61
Alhamdulillah pada minggu lepas, sempat chemek mengikuti perbincangan tafsir dari ayat 61 sehingga ayat 68. (jika tak silap). Di dalam perbincangan tersebut boleh dikeluarkan beberapa contoh perbuatan dan tuduhan golongan munafik terhadap Rasulullah s.a.w.
Sungguh tidak sangka, betapa Allah swt merakamkan perbuatan-perbuatan tersebut secara terperinci dalam banyak ayat-ayat al-Quran. Sehinggakan dalam salah satu nama surah al-Quran dinamakan dengan surah al-Munafiqun. Jika kita fikirkan apakah untungnya memberi nama yang begitu buruk ini kepada satu surah, alangkah baiknya jika diberikan nama lain yang boleh menunjukkan sesuatu yang positif kepada gambaran sebuah masyarakat Islam, lebih-lebih lagi sebuah masyarakat Islam Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w.
Memikir kembali kepada ayat-ayat berkaitan golongan munafik dan nama surah di atas, benar membuatkan chemek berasa berserabut dan kecut perut. Berserabut kerana kita sering diberikan gambaran bahawa masyarakat Islam madinah adalah masyarakat terbaik dalam sejarah dan mereka dijadikan icon sebuah masyarakat contoh. Rasa kecut perut memikirkan bagaimana keadaan rasulullah s.a.w sebagai Nabi dan sseorang pemimpin negeri berhadapan dengan begitu banyak cabaran baik dari dalam dan dari luar.
Andainya kita berada di Madinah, dan berada dalam dampingan Rasulullah s.a.w, apakah yang kita dapat bayangkan? Tentu indah apabila kita bangun pagi-pagi dan bersembahyang berimamkan Nabi dan kemudian duduk mendampinginya sambil mendengar ayat-ayat al-Quran dan sabda-sabda baginda yang mulia. Wajah siapakah lagi yang ingin kita tatap, suara siapakah lagi yang kita ingin dengar dan lagak perilaku , akhlak siapa lagi yang kita ingin teladani, melainkan hanya Rasulullah s.a.w. Alangkah indahnya suasana itu. Alangkah indahnya perasaan itu. Alangkah nyaman dan tenangnya hati kita.
Tetapi mampukan kita juga membayangkan bahawa Madinah berhadapan dengan ancaman pagi dan petang. Diserang saban waktu bermula dari perang Badar sehingga perang-perang besar dan ekspedisi-ekspedisi kecil-kecilan. dari tahun-tahun pertama penghijrahan sehingalah hampir Makkah dibuka semula. Apakah Islam berkembang dan dakwahnya tersebar tanpa cabaran-cabaran besar?  Bagaimanakah perasaan kita berhadapan dengan ancaman dan peperangan? Bukankah Madinah sebuah kota Islam? Bukankah islam maknanya selamat? Bukankah Islam maknanya aman?
Ini baru satu cabang ancaman perang dari luar baik untuk menjatuhkan sebuah kerajaan, menghapuskan dakwah Nabi, merampas kuasa madinah dan menjadikan kuasa asobiyah terus berkuasa dan bermaharajalela.
Tetapi Madinah dan Rasulullah s.a.w serta umat Islam yang beriman juga berhadapan dengan ancaman lain dari dua penjuru. Penjuru pertama golongan Yahudi yang tidak senang dengan penguasaan orang Islam dan penjuru kedua ialah dari kalangan orang Islam tetapi munafik. Golongan ini sering mengugat ketahanan dan juga mengganggu usaha-usaha dan rancangan-rancangan yang diatur oleh Rasulullah s.a.w dan umat Islam yang beriman.
Tentu ramai masih ingat peristiwa-peristiwa yang berlaku baik sewaktu persediaan menghadapi musuh ataupun sewaktu bertempur dengan musuh ataupun setelah selesai bertempur dengan musuh, golongan munafik sering menjalankan provokasi mereka tanpa henti. Bahkan provokasi jahat mereka ini sentiasa ada. Baiklah chemek akan berikan contoh ringkas.
Tiga Contoh Provokasi Golongan Munafik
Masih ingat peristiwa perang Uhud? Yang mana, sewaktu hampir ke medan Uhud, golongan munafik telah berjaya memecahkan kumpulan tentera Islam? Pada asalnya jumlah tentera Islam adalah ramai, namun mereka telah berjaya menarik sekumpulan tentera Islam dari menyertai peperangan tersebut. Dalam suasana itu, tentera Islam yang masih ada cuba lagi bertahan. Tetapi apakan daya mereka berhadapan dengan tentera berjumlah hampir 3,000 orang dan mereka pula jumlah tidak lagi sampai seribu orang. Jika sentiasa disebut faktor kekalahan Uhud disebabkan kumpulan pemanah, sebenarnya ada lagi faktor-faktor lain yang menjadi sebab-sebab kekalahan tersebut. Provokasi jahat golongan munafik ini telah berjaya melemahkan kekuatan fizikal tentera Islam sejak dari awal. Mereka juga telah berjaya menumbuhkan keraguan kepada tentera-tentera yang termakan dengan racun provokasi tersebut untuk meninggalkan kumpulan yang benar. Pada masa yang sama, mereka menggugat keyakinan dan motivasi tentera Islam yang masih tinggal. Lihat betapa jahatnya permainan mereka.
Kedua, tentu masih ingat peristiwa perang Ahzab ataupun peperangan Khandak. Dalam peperangan tersebut, Madinah mengambil strategi menggali parit sebagai benteng pertahanan. Sewaktu dalam kepungan tersebut, umat Islam Madinah berada dalam keadaan yang tertekan. Mereka tidak tahu kekuatan fizikal musuh dan berapa lamakah mereka akan bertahan dan mengepung mereka.  Dalam keadaan golongan musyrikin mengepung dan menyerang dari luar, golongan Yahudi dan munafik pula menyerang kekuatan tentera Islam dari dalam.  Namun Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda berjaya mengambil strategi berkesan dengan menghantar utusan perisik yang telah memecahkan benteng kumpulan bersekutu. 
Contoh ketiga, ialah apa yang berlaku kepada Aisyah r.a yang telah difitnah oleh golongan munafik. Peristiwa ini betul-betul berlaku setelah perang selesai. Sebaran fitnah dilakukan oleh golongan munafik ini tujuan utamanya ialah untuk membunuh karekter dan karismatik baginda melalui penghinaan terhadap isteri baginda. Bayangkan sehingga ke tahap ini provokasi jahat dilakukan untuk menjatuhkan kenabian dan juga kepimpinan Islam rasulullah s.a.w. Ini adalah tiga contoh yang boleh diberikan.
Ayat 61, surah al-Tawbah, sekali lagi mencirikan perbuatan golongan munafik ini. Terang-terang Allah s.w.t. menunjukkan kepada kita tuduhan berat yang dilemparkan oleh golongan ini ke atas Rasulullah s.a.w dengan menyatakan Rasulullah s.a.w ialah ‘uzun’ iaitu suka mendengar maklumat ataupun kata-kata orang dan mempercayainya.
Tuduhan ini ialah tuduhan untuk menjatuhkan kepimpinan Rasulullah s.a.w. sebagai sebuah ketua negeri/a. Bahkan ada sekumpulan golongan munafik ini mereka-reka cerita dan menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Setelah mereka mendapati Rasulullah mendengar maklumat yang dibawa oleh mereka, golongan ini menyebarkan kepada umum bahawa Rasulullah s.a.w ini mendengar semua berita dan menyampaikannya. Sekali lagi mereka cuba menjatuhkan karekter Rasulullah s.a.w dan mengeruhkan suasana dalam masyarakat mengenai berita-berita benar dan bohong. Akan tetapi Allah swt membersihkan tuduhan tersebut, dengan firmannya, di hujung ayat tersebut :
…Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. 
Ciri-ciri seorang pemimpin yang baik ialah seorang yang pendengar (good listener), beliau juga mudah didekati oleh sesiapa sahaja latar belakang mereka. Beliau akan mendengar semua maklumat dan menapis maklumat tersebut dengan pertimbangan-pertimbangan yang adil, berasaskan wahyu dan kemaslahatan awam. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda!.
Manakala golongan munafik, mereka ini akan terus membuat tuduhan-tuduhan, menyampaikan mesej yang bercelaru, mengembar-gempur suasana dan membuat provokasi baik untuk menimbulkan persengketaan, pertikaian, fitnah, ataupun mengurangkan kekuatan dalam kesatuan umat Islam.
Memikirkan betapa buruk dan jahatnya tindakan dan tuduhan-tuduhan dibuat oleh golongan ini baik ke atas diri Rasulullah s.a.w., kesatuan umat Islam, kelangsungan dakwah dan kestabilan sebuah kerajaan, maka barulah chemek memahami mengapa Allah menyebut dan merakamkan provokasi mereka yang buruk ini satu persatu dan dinamakan salah satu dalam banyak-banyak surah al-Quran yang mulia itu dengan golongan yang amat hina ini.