Monday, February 13, 2012

Provokasi Munafik

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah al-Tawbah: 61
Alhamdulillah pada minggu lepas, sempat chemek mengikuti perbincangan tafsir dari ayat 61 sehingga ayat 68. (jika tak silap). Di dalam perbincangan tersebut boleh dikeluarkan beberapa contoh perbuatan dan tuduhan golongan munafik terhadap Rasulullah s.a.w.
Sungguh tidak sangka, betapa Allah swt merakamkan perbuatan-perbuatan tersebut secara terperinci dalam banyak ayat-ayat al-Quran. Sehinggakan dalam salah satu nama surah al-Quran dinamakan dengan surah al-Munafiqun. Jika kita fikirkan apakah untungnya memberi nama yang begitu buruk ini kepada satu surah, alangkah baiknya jika diberikan nama lain yang boleh menunjukkan sesuatu yang positif kepada gambaran sebuah masyarakat Islam, lebih-lebih lagi sebuah masyarakat Islam Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w.
Memikir kembali kepada ayat-ayat berkaitan golongan munafik dan nama surah di atas, benar membuatkan chemek berasa berserabut dan kecut perut. Berserabut kerana kita sering diberikan gambaran bahawa masyarakat Islam madinah adalah masyarakat terbaik dalam sejarah dan mereka dijadikan icon sebuah masyarakat contoh. Rasa kecut perut memikirkan bagaimana keadaan rasulullah s.a.w sebagai Nabi dan sseorang pemimpin negeri berhadapan dengan begitu banyak cabaran baik dari dalam dan dari luar.
Andainya kita berada di Madinah, dan berada dalam dampingan Rasulullah s.a.w, apakah yang kita dapat bayangkan? Tentu indah apabila kita bangun pagi-pagi dan bersembahyang berimamkan Nabi dan kemudian duduk mendampinginya sambil mendengar ayat-ayat al-Quran dan sabda-sabda baginda yang mulia. Wajah siapakah lagi yang ingin kita tatap, suara siapakah lagi yang kita ingin dengar dan lagak perilaku , akhlak siapa lagi yang kita ingin teladani, melainkan hanya Rasulullah s.a.w. Alangkah indahnya suasana itu. Alangkah indahnya perasaan itu. Alangkah nyaman dan tenangnya hati kita.
Tetapi mampukan kita juga membayangkan bahawa Madinah berhadapan dengan ancaman pagi dan petang. Diserang saban waktu bermula dari perang Badar sehingga perang-perang besar dan ekspedisi-ekspedisi kecil-kecilan. dari tahun-tahun pertama penghijrahan sehingalah hampir Makkah dibuka semula. Apakah Islam berkembang dan dakwahnya tersebar tanpa cabaran-cabaran besar?  Bagaimanakah perasaan kita berhadapan dengan ancaman dan peperangan? Bukankah Madinah sebuah kota Islam? Bukankah islam maknanya selamat? Bukankah Islam maknanya aman?
Ini baru satu cabang ancaman perang dari luar baik untuk menjatuhkan sebuah kerajaan, menghapuskan dakwah Nabi, merampas kuasa madinah dan menjadikan kuasa asobiyah terus berkuasa dan bermaharajalela.
Tetapi Madinah dan Rasulullah s.a.w serta umat Islam yang beriman juga berhadapan dengan ancaman lain dari dua penjuru. Penjuru pertama golongan Yahudi yang tidak senang dengan penguasaan orang Islam dan penjuru kedua ialah dari kalangan orang Islam tetapi munafik. Golongan ini sering mengugat ketahanan dan juga mengganggu usaha-usaha dan rancangan-rancangan yang diatur oleh Rasulullah s.a.w dan umat Islam yang beriman.
Tentu ramai masih ingat peristiwa-peristiwa yang berlaku baik sewaktu persediaan menghadapi musuh ataupun sewaktu bertempur dengan musuh ataupun setelah selesai bertempur dengan musuh, golongan munafik sering menjalankan provokasi mereka tanpa henti. Bahkan provokasi jahat mereka ini sentiasa ada. Baiklah chemek akan berikan contoh ringkas.
Tiga Contoh Provokasi Golongan Munafik
Masih ingat peristiwa perang Uhud? Yang mana, sewaktu hampir ke medan Uhud, golongan munafik telah berjaya memecahkan kumpulan tentera Islam? Pada asalnya jumlah tentera Islam adalah ramai, namun mereka telah berjaya menarik sekumpulan tentera Islam dari menyertai peperangan tersebut. Dalam suasana itu, tentera Islam yang masih ada cuba lagi bertahan. Tetapi apakan daya mereka berhadapan dengan tentera berjumlah hampir 3,000 orang dan mereka pula jumlah tidak lagi sampai seribu orang. Jika sentiasa disebut faktor kekalahan Uhud disebabkan kumpulan pemanah, sebenarnya ada lagi faktor-faktor lain yang menjadi sebab-sebab kekalahan tersebut. Provokasi jahat golongan munafik ini telah berjaya melemahkan kekuatan fizikal tentera Islam sejak dari awal. Mereka juga telah berjaya menumbuhkan keraguan kepada tentera-tentera yang termakan dengan racun provokasi tersebut untuk meninggalkan kumpulan yang benar. Pada masa yang sama, mereka menggugat keyakinan dan motivasi tentera Islam yang masih tinggal. Lihat betapa jahatnya permainan mereka.
Kedua, tentu masih ingat peristiwa perang Ahzab ataupun peperangan Khandak. Dalam peperangan tersebut, Madinah mengambil strategi menggali parit sebagai benteng pertahanan. Sewaktu dalam kepungan tersebut, umat Islam Madinah berada dalam keadaan yang tertekan. Mereka tidak tahu kekuatan fizikal musuh dan berapa lamakah mereka akan bertahan dan mengepung mereka.  Dalam keadaan golongan musyrikin mengepung dan menyerang dari luar, golongan Yahudi dan munafik pula menyerang kekuatan tentera Islam dari dalam.  Namun Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda berjaya mengambil strategi berkesan dengan menghantar utusan perisik yang telah memecahkan benteng kumpulan bersekutu. 
Contoh ketiga, ialah apa yang berlaku kepada Aisyah r.a yang telah difitnah oleh golongan munafik. Peristiwa ini betul-betul berlaku setelah perang selesai. Sebaran fitnah dilakukan oleh golongan munafik ini tujuan utamanya ialah untuk membunuh karekter dan karismatik baginda melalui penghinaan terhadap isteri baginda. Bayangkan sehingga ke tahap ini provokasi jahat dilakukan untuk menjatuhkan kenabian dan juga kepimpinan Islam rasulullah s.a.w. Ini adalah tiga contoh yang boleh diberikan.
Ayat 61, surah al-Tawbah, sekali lagi mencirikan perbuatan golongan munafik ini. Terang-terang Allah s.w.t. menunjukkan kepada kita tuduhan berat yang dilemparkan oleh golongan ini ke atas Rasulullah s.a.w dengan menyatakan Rasulullah s.a.w ialah ‘uzun’ iaitu suka mendengar maklumat ataupun kata-kata orang dan mempercayainya.
Tuduhan ini ialah tuduhan untuk menjatuhkan kepimpinan Rasulullah s.a.w. sebagai sebuah ketua negeri/a. Bahkan ada sekumpulan golongan munafik ini mereka-reka cerita dan menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Setelah mereka mendapati Rasulullah mendengar maklumat yang dibawa oleh mereka, golongan ini menyebarkan kepada umum bahawa Rasulullah s.a.w ini mendengar semua berita dan menyampaikannya. Sekali lagi mereka cuba menjatuhkan karekter Rasulullah s.a.w dan mengeruhkan suasana dalam masyarakat mengenai berita-berita benar dan bohong. Akan tetapi Allah swt membersihkan tuduhan tersebut, dengan firmannya, di hujung ayat tersebut :
…Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. 
Ciri-ciri seorang pemimpin yang baik ialah seorang yang pendengar (good listener), beliau juga mudah didekati oleh sesiapa sahaja latar belakang mereka. Beliau akan mendengar semua maklumat dan menapis maklumat tersebut dengan pertimbangan-pertimbangan yang adil, berasaskan wahyu dan kemaslahatan awam. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda!.
Manakala golongan munafik, mereka ini akan terus membuat tuduhan-tuduhan, menyampaikan mesej yang bercelaru, mengembar-gempur suasana dan membuat provokasi baik untuk menimbulkan persengketaan, pertikaian, fitnah, ataupun mengurangkan kekuatan dalam kesatuan umat Islam.
Memikirkan betapa buruk dan jahatnya tindakan dan tuduhan-tuduhan dibuat oleh golongan ini baik ke atas diri Rasulullah s.a.w., kesatuan umat Islam, kelangsungan dakwah dan kestabilan sebuah kerajaan, maka barulah chemek memahami mengapa Allah menyebut dan merakamkan provokasi mereka yang buruk ini satu persatu dan dinamakan salah satu dalam banyak-banyak surah al-Quran yang mulia itu dengan golongan yang amat hina ini.

No comments:

Post a Comment